DEV Community

Cover image for 7 tips bekerja dari rumah untuk tingkatkan produktiviti
Luqman B. Shariffudin
Luqman B. Shariffudin

Posted on

7 tips bekerja dari rumah untuk tingkatkan produktiviti

RM0 Mulai 22 Oktober hingga tamat PKPB di KL, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah, pekerja sektor awam dan swasta tidak perlu ke pejabat sebaliknya WFH.

Itulah mesej rasmi yang dihantar melalui sms oleh pihak kerajaan kepada orang awam mengenai situasi semasa.

Ini mungkin bukan kali pertama anda bekerja dari rumah ("BDR") kerana rakyat Malaysia pernah diarah untuk duduk di rumah pada fasa PKP yang pertama.

Namun jika kali ini anda perlu dan terpaksa BDR, maka saya ada sediakan beberapa tips yang anda boleh cuba untuk tingkatkan produktiviti kerja anda walaupun di rumah sendiri.

1. Mandi dan solat subuh 🚿

Siapkan benda-benda wajib dahulu. Segarkan badan dengan mandian pagi. Saya percaya waktu pagi seolah-olah "penentu" mood kita pada hari tersebut. Jika baik paginya itu, insya-Allah ada kesannya sampai ke malam.

Secara peribadi, saya suka minta (berdoa) pada Allah Taala untuk dilancarkan segala urusan termasuklah urusan kerja dan urusan keluarga.

Jangan suka bangun lewat. Jika anda bangun lewat (atau jenis suka tidur lepas subuh sampai tegak matahari), anda akan perasan satu perkara iaitu hari anda menjadi pendek.
Banyak benda akan terlepas yang akan menjejaskan suasana diri kita pada hari tersebut. Jadi elakkan bangun lewat. Bangun dan solat subuh.

Jadikan BDR ini satu peluang untuk anda bangun awal dan solat kerana anda mungkin tidak perlu bergegas untuk ke tempat kerja atau hantar anak ke pengasuh dalam tempoh ini.

2. Siapkan pagi anda sepenuhnya ☕

Sarapan, mandikan anak, sediakan sarapan atau beli sarapan, belikan barang runcit dan sebagainya. Anda lebih tahu urusan anda. Lakukan ia sebaiknya sebelum "masuk kerja".

Ini kerana untuk mengelakkan anda diganggu ketika sedang fokus bekerja. Fleksibiliti masa yang diberi kepada anda, bermaksud, anda bertanggungjawab penuh untuk menyusun dan mengatur hidup anda.

Saya sangat yakin kita semua pasti diganggu terutama yang mempunyai ahli keluarga (seperti anak tidak sekolah, suami nak makan dan sebagainya) namun kita boleh minimakan impak gangguan ini jika kita siapkan dan tunaikan hak-hak ahli keluarga yang lain.

Secara peribadi saya sangat tidak suka diganggu apabila saya dah mula fokus bekerja.

3. Sediakan tempat khas untuk bekerja 🖥️

Jika anda mempunyai ruang kerja sendiri, ia sebenarnya amatlah bagus. Agak-agak anda tahu tak kenapa kita disuruh datang pejabat? Dan di pejabat anda mungkin mempunyai meja atau bilik sendiri? Cubalah teka.

Perkara paling mudah yang anda boleh sediakan adalah, meja dan kerusi khas yang digunakan hanya untuk bekerja. Dan jika anda berkemampuan, anda mungkin boleh jadikan satu bilik di rumah anda sebagai pejabat. Di dalamnya ada meja dan kerusi yang memang dikhaskan untuk anda bekerja.

Meja kerja saya sentiasa akan ada barang. Mungkin di antara kita ada buku-buku, fail, dokumen dan pelbagai aksesori yang digunakan untuk bekerja. Saya lebih suka biarkan barang-barang itu atas meja (walaupun bersepah, tapi bukan kotor) kerana apabila kita masuk semula keesokkan harinya, benda sudah pun tersedia.

Ingat ya, bagi hak kepada diri dan otak anda untuk fokus. Maka cuba wujudkan suasana itu semampu yang boleh. Insya-Allah akan dimudahkan.

IMG_20200531_212736

Ini contoh meja kerja saya pada suatu ketika dahulu. Bersepah tu jangan cakap.

4. Peralatan komunikasi yang berpatutan 🎤

Antara kunci keberhasilan dan kejayaan BDR ini adalah komunikasi. Jadi tidak salah untuk anda laburkan sedikit wang untuk menyediakan pelbagai keperluan demi untuk melancarkan lagi komunikasi secara maya ini.

Ini termasuklah perkakasan seperti webcam, external microphone, green screen, pakej internet yang stabil. Semua ini akan membantu anda dalam menghadapi cabaran komunikasi secara maya.

Anda pernah terfikir tak mengapa studio-studio perfileman atau seumpamanya melabur pada alat-alat yang mahal dan canggih? Kenapa tidak guna telefon bimbit sahaja. Sekarang sudah boleh rakam video 4k dengan telefon bimbit. Cuba fikirkan.

Untuk dapatkan idea bagaimana untuk setup dan sebagainya, saya suka layari Youtube dan cari "work from home setup" dan guna apa-apa keyword yang bersesuaian seperti "work from home budget setup" dan sebagainya.

Jika anda tanya saya mana yang patut diutamakan, saya akan cakap utamakan mikrofon dan earphone / headphone. Kita mahu dengar dengan jelas, dan kita mahu orang lain dengar kita juga dengan jelas.

Sekali lagi, ikut kemampuan kita. Jangan membazir dan keterlaluan.

5. Tabahkan mental

Penat otak. Stress. Gelisah. Dateline. Bos telefon. Anak mengamuk. Beras habis. Isteri merajuk. Dan macam-macam lagi perkara yang mungkin kita sahaja tahu 😅.

Semua masalah ini boleh berlaku dari dalam rumah kita. Ya tuan-tuan dan puan-puan, dalam rumah kita tanpa perlu kita keluar.

Bekerja dari rumah ini boleh saya katakan seperti kita bawa semua masalah di tempat kerja ke dalam rumah kita. Mudahnya kita berkomunikasi, begitu juga mudahnya kita mendapat tekanan.

Anda boleh sahaja "putuskan" komunikasi dengan dunia luar jika anda mahu, tetapi dalam kepala anda masih lagi terngiang-ngiang akan semua masalah yang belum selesai.

Apa boleh buat? Doa dan hadapilah. Tarik nafas dan cuba kawal. Kalau ada benda boleh bincang, kita bincang. "Benda boleh bincang buat apa gaduh?".

Kita sama-sama cuba. Jika kita tak pandai kawal takut ia akan memberi kesan pada hari-hari seterusnya dan produktiviti kita akan turut terjejas. Ingat, kita manusia biasa.

6. Hadkan waktu komunikasi 📵

Situasi anda sekarang ini adalah, anda mungkin menerima "tekanan" dari dalam rumah (contoh: anak kecil dsbnya). Jangan biarkan diri anda dibebani lagi dengan tekanan yang bukan pada waktunya.

Komunikasi "tidak tentu masa" ini tidak semua orang boleh terima. Ada orang anaknya ramai. Perlu uruskan keluarga dan sebagainya. Ada orang hidupnya bujang, tidak kisah diganggu bila-bila masa.

Jadi, waktu apa yang sesuai untuk berkomunikasi? Pada saya, ikutlah waktu kerja pejabat anda. Itu yang kami lakukan sekarang. Komunikasi antara rakan kerja akan mula rancak mulai 9 pagi, diakhiri dengan laporan harian jam 5.30 petang, dan ia hanya berlaku pada hari bekerja sahaja.

Adakah masih berlaku komunikasi di luar waktu kerja? Ya, ada. Namun ia atas budi bicara masing-masing. Bincang dan minta izin untuk ganggu jika ia satu keperluan.

Ada diantara kami yang berjaga malam kerana memantau server dan sistem yang sedang digunakan oleh pelanggan seluruh dunia. Esok perlu lapor macam biasa. Tak penat ke? Penat. Rakan kerja lain maklum akan perkara tersebut dan biarkan mereka yang terlibat untuk rehat pada hari itu. Toleransi, faham akan banyak membantu.

7. Lihatlah alam walau sebentar 🌿

Duduk terperap dalam rumah atau bilik dalam tempoh yang lama akan buat kita rasa "lemau". Hanya melihat dinding, kemudian skrin komputer, kemudian lihat siling, dinding dan muka pasangan. Setiap hari.

Rehatkan mata anda. Saya syorkan anda tengok langit. Pergi keluar sekejap (atau turun jika anda rumah apartment) dan dongaklah ke langit sebentar. Lihatlah burung dan awan yang berarak sambil-sambil puji Tuhan.

Rumah kita lain-lain, maka anda lebih tahu yang mana paling baik untuk dilihat.

Bonus: Jaga privasi rumah dan isi rumah anda 😎

Kamera, mikrofon, dan segala alat komunikasi perlu dipantau. Buka bila perlu dan tutup bila sudah digunakan.

Jika anda sedang bermesyuarat atau kelas dan sebagainya, pastikan latar belakang anda sesuatu yang statik atau tiada kelibat sesiapa yang tidak berkenaan (seperti pasangan atau ahli keluarga lain).

Pastikan aurat anda dan mereka terjaga, dan pilih tempat yang sesuai untuk buka kamera jika diminta (biasa hanya voice sahaja).

Elakkan tunjuk benda-benda yang sensitif seperti tempat letak kunci, tombol pintu dan apa-apa yang dirasakan sensitif. Adakah kita tidak percaya rakan kerja 😅? Tidak, hanya langkah berhati-hati.

Kalau susah sangat, kita sentiasa ada butang disable camera dan mute. Gunakan itu sebaiknya.

Akhir kata

Sebagai seorang pengaturcara sistem, saya berpengalaman bekerja dari luar negara (majikan di Malaysia) pada tahun 2016 dalam tempoh 9 bulan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Yang penting komunikasi perlu sentiasa dihidupkan supaya kerja dapat disiapkan pada tarikh yang ditetapkan dan juga kepercayaan antara pihak majikan dan pekerja perlu dijaga.

Buat majikan, percayalah bahawa pekerja dan kakitangan anda sedang berusaha keras di rumahnya untuk siapkan amanah yang diberi.

Buat pekerja, percayalah bahawa majikan anda sedang berusaha sedaya upaya untuk kekalkan kelancaran operasi termasuk kewangan supaya hasilnya dapat dirasai oleh semua orang.

Saya harap semuanya berjalan lancar dan moga dimudahkan semua urusan kita semua, terutama dalam tempoh pandemik yang belum kita tahu bila akan berakhir.

Top comments (1)

Collapse
 
louislow profile image
Louis Low

Artikel yang mantap enak! Saya juga berkerja kat rumah dah selama 7 bulanlah. Saya dah jadi banyak berdisiplin and berproduktif.