DEV Community

hasbidin
hasbidin

Posted on

Apa itu cloud computing?

Salam sejahtera semua,

Hari ni kita nak bersembang sikit secara santai tentang apa itu cloud computing. Mungkin ramai dah sedia maklum tentang apa yang dimaksudkan dengan cloud computing, tapi untuk yang belum tahu atau baru nak tahu, sekarang ni memang masa yang terbaik untuk kita gali lebih maklumat berkenaan dengan cloud. Jika dahulu bila kita sebut cloud, ianya lebih tertumpu kepada perisian penyimpanan data seperti Dropbox dan Google Drive, tapi kini tidak lagi. Ada juga yang kata cloud itu hanyalah satu lagi komputer milik seseorang dan di tempat yang lain!

Image description

Makna cloud computing tu dah lebih meluas dan besar takrifannya pada hari ni. Kita akan pecahkan topik perbincangan ni kepada beberapa bahagian untuk lebih mudah difahami, iaitu: apa itu cloud computing, kenapa kena ada cloud computing, bila masa yang sesuai untuk guna, siapa yang menyediakan perkhidmatan cloud computing ni, dan bagaimana cara untuk kita mula menggunakan perkhidmatan cloud computing. Dan sebolehnya kita kekalkan je la sebut cloud sebagai cloud ya. Bukan apa, kalau tukar ke awan, agak sukar kita nak buat perbandingan dan rujukan. Tapi tak apa, jom kita mula dulu.

Apa itu cloud computing?

Cloud computing atau secara kasarnya diterjemahkan sebagai pengkomputeran awan, adalah satu teknologi melalui Internet di mana kita:

  • berkongsi tanggungjawab bersama penyedia perkhidmatan cloud computing dalam menguruskan infrastruktur
  • tidak mengeluarkan kos secara langsung, sama ada masa atau wang ringgit, dalam menyediakan infrastruktur secara fizikal (baca: on-premise data center)
  • mempunyai pilihan di dalam ketersediaan atas pemintaan (on-demand availability) bagi sumber-sumber sistem komputer
  • boleh memilih apa-apa sumber yang tersedia secara spesifik contohnya seperti penyimpanan data dan kuasa pengkomputeran, tanpa pengurusan secara aktif
  • dapat menggunakan perkhidmatan kebanyakan sumber-sumber sistem komputer secara guna dan bayar (pay-as-you-go)
  • boleh mengubah skala infrastruktur secara manual atau automatik mengikut keperluan semasa

Dalam kata lain, ciri-ciri cloud computing adalah:

  • ketersediaan atas pemintaan secara layan diri
  • akses jaringan (networking) yang lebar
  • pengumpulan sumber
  • keanjalan pantas
  • perkhidmatan yang boleh diukur

Jenis-jenis cloud computing pula ada tiga. Kita sebut secara ringkas dahulu. Untuk yang lebih terperinci, kita sembang dalam pos yang lain nanti:

  • public cloud (milik penyedia perkhidmatan pihak ke-tiga)
  • private cloud (milik persendirian, sama ada syarikat atau organisasi)
  • hybrid cloud (campuran antara public dan private)

Dan ada beberapa jenis perkhidmatan cloud yang boleh digunakan. Ni pun kita sebut secara ringkas dahulu:

  • Infrastructure as a service - IaaS (infrastruktur sebagai sebuah perkhidmatan)
  • Platform as a service - PaaS (platform sebagai sebuah perkhidmatan)
  • Software as a service - SaaS (perisian sebagai sebuah perkhidmatan)
  • Serverless computing (pengkomputeran tanpa pelayan)

Image description

Macam rumit je semua tu, biar betul? Ya, memang betul. Cloud computing ni memang sesuatu yang kompleks, lebih-lebih lagi kalau kita nak pandang secara lengkap dan menyeluruh. Terminologi yang digunakan lagi la bertingkat-tingkat. Tapi jangan la risau sangat. Sepertimana teknologi yang lain, ada masanya kita hanya perlu satu atau dua elemen sahaja daripada teknologi tersebut dalam satu-satu masa. Selebihnya kita boleh tengok pada masa lain, ataupun kita serahkan kepada yang lebih pakar untuk diuruskan.

Kenapa kena ada cloud computing?

Rasa macam tak ada beza je dengan Internet yang kita guna dan data center yang biasa kita dengar, kan? Hampir tepat. Tapi dunia berubah. Dulu jika kita nak terbitkan satu-satu laman web, ada banyak proses atau konfigurasi yang perlu kita sediakan terlebih dahulu. Itu belum kira lagi usaha kita untuk menulis atau kod skrip HTML semasa pembangunan web. Banyak kos yang perlu dilaburkan, tak kira masa atau wang ringgit. Pertamanya kita perlu dapatkan web hosting. Kemudian bila dah ada akses ke pelayan, kita perlu set konfigurasi untuk LAMP. Dah selesai semuanya barulah kita muatkan fail HTML dan terbitkan laman web kita.

Cuba kita bandingkan dengan cloud computing. Microsoft Azure sebagai contoh. Satu laman web statik boleh diterbitkan dalam masa kurang daripada 10 minit. Kita hanya perlu cipta satu akaun dengan Microsoft, login ke portal Azure, cipta pula satu akaun Storage, aktifkan pilihan Static website, muatnaik fail HTML, selesai!

Dengan itu, kita dapat la gunakan masa dengan lebih lagi untuk memantapkan laman web, dan tak perlu fikir banyak tentang infrastruktur atau pelayan. Sampaikan kalau la tiba-tiba kita rasa tak nak teruskan, kita boleh terus delete atau hapuskan akaun Storage tadi, dan terus sambung tidur. Mudah, kan?

Bila sebut mengenai hapuskan akaun Storage, satu lagi topik yang berkait rapat dengan cloud computing adalah infrastruktur sebagai kod, atau Infrastructure as Code (IaC). Itu satu lagi topik yang menarik untuk perbincangan lain kerana dengan IaC, kepantasan dalam deployment boleh ditingkatkan dengan lebih lagi melalui proses automasi. Kita tunggu dan lihat!

Secara amnya, antara sebab utama kenapa cloud computing menjadi pilihan:

  • kos: membantu operasi IT untuk mengoptimakan kos. Tak semestinya lebih atau akan lebih murah, tetapi optima
  • skala global: meningkatkan skala secara anjal dan global
  • prestasi: perkhidmatan pengkomputeran di atas perkakas dan jaringan yang selamat, dan sentiasa dikemaskini
  • keselamatan: hampir kesemua penyedia perkhidmatan cloud menawarkan ciri-ciri polisi dan kawalan keselamatan yang mantap
  • kelajuan: layan diri dan atas permintaan, bila-bila masa sahaja kita boleh mencipta sumber baharu dalam masa yang singkat
  • produktiviti: berbanding pengurusan pusat data tradisional, operasi IT boleh lebih fokus kepada matlamat perniagaan yang lain
  • kebolehpercayaan: sandaran data, pemulihan bencana, dan kebolehsambungan perniagaan yang lebih mudah dan murah

Bila masa yang sesuai untuk guna?

Cuba bayangkan kita baru sahaja nak mula berniaga. Modal dah banyak dilaburkan untuk operasi perniagaan. Tapi bahagian digital masih perlu diuruskan dengan baik. Penyimpanan data, pemasaran secara atas talian, data pelanggan, semua tu dikira penting sejak hari pertama lagi. Nak ambil pekerja IT pun nak kena berkira-kira. Dengan cloud computing, kos digital boleh dikurangkan, dan tenaga kerja boleh diminimumkan. Bila perniagaan dah berkembang maju, barulah kita boleh besarkan jumlah pekerja dan perbelanjaan bagi hal-hal digital. Kata kuncinya di sini - skala.

Selain itu, cloud computing juga sesuai untuk projek atau hobi peribadi. Contohnya jika kita minat dengan kod dan skrip seperti Python atau JavaScript. Nak lancarkan satu-satu deployment akan mengambil kos yang tinggi jika menggunakan cara konvensional. Dengan serverless computing, semuanya boleh diterbitkan dalam masa yang singkat, lengkap dengan fungsi pengesahan atau authentication jika perlu.

Ada juga situasi di mana cloud computing tidak sesuai untuk digunakan. Lebih-lebih lagi kalau penyelesaian cloud-native tidak memenuhi kehendak perniagaan. Kita simpan dulu perbincangan tu untuk pos yang lain nanti.

Siapa yang menyediakan perkhidmatan cloud computing ni?

Ada banyak penyedia perkhidmatan cloud computing yang ada pada hari ni. Tapi yang terpaling top sudah tentu Amazon Web Services atau lebih dikenali sebagai AWS. Seterusnya diikuti dengan Microsot Azure, Google Cloud Platform, Oracle, dan lain-lain. Senarai penuh seperti berikut:

  • Amazon Web Services (AWS)
  • Microsoft Azure
  • Google Cloud Platform (GCP)
  • Alibaba Cloud
  • Oracle Cloud
  • IBM Cloud (Kyndryl)
  • Tencent Cloud
  • OVHcloud
  • DigitalOcean
  • Linode (owned by Akamai)

Hampir kesemua penyedia perkhidmatan cloud computing ada tawaran yang sama. Nama produk mungkin berbeza, tapi bila kita tengok perinciannya, lebih kurang sama je fungsinya. Sebagai contoh, AWS Lambda dan Azure Functions, AWS E3 dan Azure Storage. Banyak lagi contoh lain tapi tu nanti kita boleh sembang lagi.

Macam mana cara nak mula?

Nak mula memang senang. Kita ambil Microsoft Azure sebagai contoh:

  1. Sediakan satu akaun dengan Microsoft (personal, bukan di bawah syarikat)
  2. Pastikan ada kad pembayaran (sama ada kredit atau debit) untuk tujuan pendaftaran
  3. Layari laman web Azure: https://azure.microsoft.com/en-us
  4. Klik Free account dan lengkapkan pendaftaran
  5. Setelah selesai, anda akan ada perkhidmatan cloud computing yang popular selama 12 bulan, lebih 55 perkhidmatan yang sentiasa percuma, dan $200 Azure credit yang boleh digunakan selama 30 hari
  6. Layari laman web portal Azure: https://portal.azure.com/
  7. Selesai!

Cara mendaftar bagi AWS pun lebih kurang sama. Jangan risau, untuk permulaan dan selepas mendaftar, takkan ada apa apa caj dikenakan.

Setakat tu dulu, kita jumpa lagi dalam pos yang akan datang!

Top comments (0)